Tarikh pilihan raya Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12

Demam pilihan raya kali ini telah bermula sejak penghujung tahun 2007 dan ramai pihak membuat andaian tentang tarikh pilihan raya umum ke-12. Khabar angin tersebut semakin meluas pada tahun 2008. Spekulasi menyatakan Parlimen Malaysia akan dibubarkan pada 21 Februari 2008 dan tarikh pembuangan undi pada hari Sabtu, 8 Mac 2008. 15 Mac 2008 juga dikira sesuai. Tarikh ini dikira sesuai kerana sekolah sedang bercuti dan keadaan politik dan ekonomi negara dilihat lebih stabil. Pada 12 Februari 2008, desas-desus semakin kuat mengatakan parlimen akan dibubarkan pada keesokan harinya iaitu 13 haribulan kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah menyukai nombor 13. tetapi masih dinafikan beliau.[2]

Akhirnya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah membubarkan Parlimen pada 13 Februari 2008 untuk memberi laluan kepada pilihan raya. Parlimen telah dibubarkan pada 12.35 tengah hari setelah Perdana Menteri mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.[3] Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada asalnya bercadang untuk membubarkan Parlimen pada minggu berikutnya tetapi disebabkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan berlepas untuk bercuti di luar negara pada malam 13 haribulan, cadangan itu diubah bagi membolehkan Perdana Menteri mendapatkan perkenan baginda.[4] Pada hari yang sama, semua negeri kecuali Sarawak telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi ruang untuk mengadakan pilihan raya umum ke-12 dalam masa terdekat. Pembubaran itu diperkenankan oleh Sultan dan Yang Dipertuan Besar negeri di istana negeri masing-masing untuk diwartakan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).[5]

Turut dilaporkan bahawa SPR akan memperkenalkan peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian pada pilihan raya umum ini.[6] Tarikh tarikh pencalonan dan pengundian pilihan raya umum pula akan diumumkan sehari selepas pembubaran parlimen iaitu selepas mengadakan mesyuarat.[7]

Pada 14 Februari 2008, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 8 Mac sebagai hari rakyat Malaysia akan keluar mengundi bagi pilihan raya umum ke-12 ini manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 24 Februari. Tempoh berkempen dalam pilihan raya kali ini adalah selama 13 hari. [8]

Rujukan

WikiPedia: Senario Pilihan Raya Umum Malaysia ke-12 http://122.0.17.30/news/79429 http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3...